aszulqa.com

Resipi Nasi Lemak & Sambal Nasi Lemak Paling Sedap: Tips & Petua masak sambal nasi lemak cantik pecah minyak berwarna merah gelap

Memandangkan nasi lemak adalah makanan kesukaan rakyat Malaysia yang selalunya dimakan sebagai sarapan pagi…namun disebabkan kesedapannya, sekarang nasi lemak Malaysia boleh didapati tidak kira waktu samada sebagai menu sarapan pagi, menu makan tengahari mahupun menu makan malam. Jadi saya akan kongsikan resipi nasi lemak & sambal nasi lemak paling sedap beserta tips & petua masak sambal cantik pecah minyak berwarna merah gelap beserta tutorial cara masaknya sekali. Berikut adalah feedback daripada mereka yang telah memasak nasi lemak dan sambal nasi lemak seperti yang saya kongsikan di Youtube. 

IKUTI UPDATE RESEPI TERKINI SECARA EKSKLUSIF
Youtube: As Zulqa (klik subscribe)
Instgram: Dr. As Zulqa (klik follow)
Tik Tok: As Zulqa (klik follow)

 

 

Nasi lemak Malaysia boleh didapati dari gerai-gerai tepi jalan hinggalah ke restoran masakan terkemuka mahupun di hotel lima bintang. Senang untuk membeli nasi lemak di Malaysia kerana ia boleh didapati di mana-mana sahaja cuma sedap atau tidak ajelah. Sebenarnya bahan-bahan nasi lemak tidaklah susah mana, senang untuk diperolehi. Saya rasa ramai yang dah pandai buat nasi lemak ni kan….cuma mungkin jarang buat jadi terlupa balik cara masak nasi lemak tu. Untuk yang pertama kali nak cuba buat nasi lemak, bolehlah cuba resepi nasi lemak sedap & mudah ni. Paling penting tips dan petua masak nasi lemak biar cantik berderai-derai dan tak lembik atau melekit.

Cara masak nasi lemak ni simple aje…walaupun simple, kena tahu teknik & step yang betul barulah nasi lemak tak lembik, berketul atau melekit. Paling penting sukatan nasi, air & santan kena betul barulah nasi lemak sedap. Sukatan nasi lemak guna cawan juga saya kongsikan cara orang-orang lama masak nasi lemak. Petua nasi lemak sedap resepi orang lama, rahsianya hanya sukat cecair menggunakan jari. Ya! guna jari je untuk sukat air & santan supaya nasi lemak menjadi…berderai-derai & sebutir-sebutir. Kemudian masak nasi lemak guna rice cooker sahaja.

 

Cara masak nasi lemak yang kami kongsikan tidak ditambah minyak masak & garam supaya nasi lemak yang kita makan itu lebih sihat. Santan sahaja pun dah cukup berlemak kan. Tengok video sampai habis supaya ilmu ni dapat difahami sepenuhnya.

 

Selain rahsia menyediakan nasi lemak sedap saya juga akan kongsikan cara buat sambal nasi lemak paling sedap. Sambal nasi lemak paling sedap yang cantik pecah minyaknya dan gelap warna merahnya ada teknik tertentu yang perlu difahami dan diikuti. Bonus pada resepi sambal nasi lemak ini ialah ia sesuai untuk orang yang alergik belacan, ikan bilis dan udang kering kerana sambal nasi lemak ini tidak menggunakan kesemua bahan-bahan itu. Resepi sambal nasi lemak ini juga sangat praktikal untuk orang Malaysia yang duduk di luar negara hatta orang bukan Malaysia sekalipun yang baru nak belajar buat nasi lemak…tak perlu susahpayah cari belacan & udang kering.

Bahan-bahan sambal nasi lemak ini ringkas, cuma memerlukan masa yang agak lama untuk betul-betul masak. Tapi amat berbaloi bila dah masak sambal nasi lemak ni, dimakan pula dengan nasi lemak yang panas-panas…dihidang atas daun pisang ditambah lagi dengan lauk pauk, ikan bilis, kacang tanah, telur rebus & timun. Aduh! terbayangkan keenakan & kesedapan sambal nasi lemak ini sudah cukup terliur dibuatnya. 

Selain bahan-bahan yang disenaraikan perlu juga ditambah satu lagi bahan…iaitu ‘KESABARAN’ namanya dalam memasak sambal nasi lemak untuk menghasilkan sambal yang cantik pecah minyak & tahan lama. Perlu pecah minyak sampai 3 kali barulah sambal tu betul-betul masak atau orang panggil masak garing. Warna sambal juga dah bertukar ke merah gelap….haaaa, dah cantiklah tu. Saya ambil masa sekurang-kurangnya 1 jam untuk hasilkan sambal nasi lemak seperti yang anda lihat hasilnya di dalam video. Nasi lemak yang dihidang atas daun pisang, aromanya lebih harum & rasanya lebih sedap. Waktu nasi lemak ini masih lagi panas…cubalah hidangkan atas daun pisang, mesti semerbak aromanya satu rumah!

 

BAHAN-BAHAN nasi lemak:
-4 pot beras (cuci bersih)
-2 pot santan
-air
-1 biji bawang merah (hiris mayang)
-1 inci halia (hiris mayang)

CARA MEMASAK nasi lemak:
1.cuci bersih beras
2.masukkan santan
3.masukkan bawang merah, halia & kacau sebati
4.masukkan air sampai ruas pertama jari telunjuk (jika terlebih air boleh buang air & jika terkurang air boleh tambahkan air)
5.masak guna rice cooker

 

BAHAN-BAHAN sambal nasi lemak:
-2 biji bawang merah besar (dihiris mayang)
-asam jawa + air (pes asam jawa)
-3/4 blok gula melaka
-garam

BAHAN KISAR sambal nasi lemak:
-20 tangkai cili kering (direbus dahulu)
-2 biji bwang merah besar
-5 ulas bawang putih
-1 inci halia

CARA MEMASAK sambal nasi lemak:
1.panaskan minyak…minyak kena lebih supaya sambal betul-betul masak & cantik pecah minyak
2.tumis hirisan bawang merah (2 biji) hingga layu je..jangan sampai keperangan garing (hirisan bawang yang tak garing ni akan hancur dengan sendirinya sepanjang tempoh memasak…kalau bawang dah keperangan nanti susah hancur bawang tu).
3.dah naik bau tumisan bawang merah tadi terus masukkan kesemua bahan kisar
4.masak sambal hingga pecah kali pertama
5.masukkan air asam jawa
6.masukkan gula melaka & daun pandan (optional)
7.masukkan air
8.kacau sebati hingga pecah minyak kali ke-2
9.tambah air & perasakan dengan garam
10.kacau sebati hingga pecah minyak kali ke-3
11.tutup api & dah siap sambal nasi lemak!


Oh ya! minyak yang banyak hasil dari pecah minyak tu bolehlah dikaup letak dalam bekas lain. Minyak itu boleh diguna lain kali untuk memasak sambal, asam pedas, masak merah, tiga rasa atau sebarang masakan yang menggunakan cili kering.

 

Bonus untuk anda…saya juga kongsikan cara masak nasi lemak pandan dan nasi lemak kukus resepi viral mudah dan sedap, boleh rujuk tutorial cara masak nasi lemak tersebut seperti di bawah: 

Kredit: Dr. As Zulqa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × five =

Scroll To Top