aszulqa.com

NASI AIR DINGIN Original

Apa itu Nasi Air Dingin?
Nasi air dingin bukanlah bermaksud nasi itu sejuk atau dingin, ia adalah nasi putih bersama gulai samada gulai ikan ataupun gulai ayam/ daging. Jika di Kelantan nasi putih bersama gulai ikan/ ayam/ daging ini dipanggil sebagai nasi berlauk. Manakala, Air Dingin adalah nama tempat iaitu Kampung Air Dingin, Tumpat di Kelantan. Nasi berlauk dari Kg Air Dingin adalah tempat popular pertama yang menghasilkan nasi berlauk yang sangat sedap dan khabarnya nasi air dingin ini tahan lama, tidak basi dari pagi sampai ke malam. Sememangnya nasi air dingin original berasal dari kampung air dingin, tumpat, Kelantan. Nasi air dingin mula popular dan menjadi fenomena setelah ia mula diterbangkan ke serata Malaysia dan punyai ratusan agen di seluruh negeri di Malaysia.

 

Sepanjang pengetahuan penulis, nasi air dingin yang sentiasa menjadi sebutan pada ketika ini adalah nasi air dingin Husna dan nasi air dingin Kak Chik. HQ kedua-dua kedai ini terletak di sekitar Tumpat, Kelantan. Penulis berkesempatan melawat HQ Nasi Berlauk Kak Chik atau dikenali sebagai nasi air dingin Kak Chik. 

Kedai makan nasi air dingin Kak Chik ini terletak betul-betul di tepi jalan utama. Tempat parkingnya percuma dan sentiasa penuh dengan pelanggan. Kedai nasi berlauk Kak Chik terbahagi kepada dua bahagian, iaitu separuh bahagian kedai untuk pelanggan makan di situ (dine-in) dan separuh kedai lagi digunakan untuk membungkus ribuan bungkusan nasi air dingin Kak Chik untuk diedarkan pada agen-agen di seluruh Malaysia. Ketika penulis tiba pada waktu tengahari, kelihatan pekerja-pekerja kedai makan Nasi Berlauk Kak Chik sedang sibuk membungkus ratusan ke ribuan nasi bungkus air dingin ini.

 

Puas hati kalau dapat makan nasi berlauk Kak Chik kat HQ kedai makannya ni sebab ada banyak sangat pilihan lauk yang kita boleh pilih sendiri, bukan sekadar gulai ikan atau ayam sahaja. Gulainya memang sedap dan pekat, ditambah lagi dengan sayur atau acar dan sambal lada…diminum pula bersama teh tarik kaw, memang terangkatlah! Namun jangan risau jika anda tak berkesempatan singgah makan di restoran Kak Chik nasi berlauk ni, anda masih boleh mendapatkannya dari agen jualan di sekitar kawasan anda.

 

Selain nasi berlauk ada juga nasi dagang, tapi nasi kerabu tak kelihatan pula. Selain nasi dan pelbagai lauk, ada juga lambakan kuih-muih Kelantan yang bersusun memenuhi meja di sebelah cashier. Ada kuih-muih tradisi Kelantan dan juga kuih moden. Pilih saja mana yang berkenan. Antara kuih unik dan ‘rare’ yang hanya terdapat di Kelantan dan ada dijual di sini adalah kuih tahi itik, bunga tanjung dan jala mas. Rasanya semestinyalah lemak-lemak manis.

 

Kini nasi berlauk air dingin ini sudah menjadi makanan sepanjang masa tidak kira sebagai sarapan, makan tengahari ataupun makan malam. Walapun simple, tapi jika kena dengan selera anda pasti anda akan membelinya berulangkali.

Scroll To Top