aszulqa.com

RESEPI LAKSAM bersama kuah putih lemak yang sedap dimakan bersama ulam-ulaman dan sambal lada.

Laksam Kelantan putih licin dengan rasa lemak-lemak manis bila dimakan bersama kuah santan putih. Digabungkan pula dengan ulam-ulaman segar dan sambal lada melengkapkan lagi rasa sedap laksam ini.

Laksam amat terkenal sebagai salah satu menu sarapan pagi di Kelantan. Kini, ia bukan saja dimakan sebagai menu sarapan pagi, malahan dimakan tidak kira masa dan juga sudah boleh didapati di seluruh pelusuk negeri di Malaysia. Disebabkan kuah putihnya bersantan, maka tempoh penyimpanan laksam ini tidak tahan lama, jika tidak dibuat dengan elok dan bersih ia akan cepat basi. Disebabkan itu jugalah tidak semua gerai atau kedai makan menyediakan menu laksam. 

Buat yang tertanya-tanya apa itu laksam?
Laksam diperbuat daripada tepung beras dan dimakan bersama dengan kuah putih berlemak santan. Dari segi pembuatannya, adunan cair tepung beras ini akan disalut pada bekas seperti tudung periuk kemudian dikukus dalam pengukus. Apabila mengeras, ia akan digulung menjadi panjang dan sedia untuk dihidangkan. Sebelum dihidang, ia akan dipotong-potong membulat dan dihidang bersama kuah lemak juga ulam-ulaman segar dan sambal lada.

Mungkin ada juga yang tertanya-tanya, apa pula beza laksam dan laksa?
Perbezaan utama adalah bentuk laksam dan laksa itu sendiri, laksam berbentuk membulat selepas dipotong manakala laksa berbentuk seperti mee. Dari segi kuah, kuah laksam diperbuat daripada santan menghasilkan kuah putih santan lemak, manakala kuah laksa tidak menggunakan santan dan rasa kuahnya masam.
Persamaan laksam dan laksa?
Persamaan bahan asas laksa dan laksam diperbuat daripada tepung beras. Manakala kuah laksam dan laksa ada campuran isi ikan yang membuatkan kuah itu lebih sedap dan pekat.

Jom kita tengok perkongsian resepi laksam dari fb Tia Rizz yang telah mendapat ribuan share di Resepi Viral Mudah dan Sedap.

Bahan-bahan laksam:
-3 cawan tepung beras
-1/2 cawan tepung gandum
-5 cawan air ( 3 cawan air panas  2 cawan air biasa)
-1/2 sudu kecil garam
-(Adunan ni dapat dalam 10 batang laksam)

Cara membuat laksam:
-Satukan kesemua bahan, kacau sehingga adunan tak berketul. Lepas kacau,Tapis adunan.
-Panaskan pengukus. Letakkan tudung periuk didalam kukusan beserta dengan sedikit minyak masak (Tapi tia guna pinggan ikea sahaja sebab tak ada tudung periuk).
-Lepastu masukkan 2 senduk bancuhan ke atas tudung periuk tadi dan kukus sehingga masak.
-Adunan masak dalam 2-3 minit. Angkat dan biarkan seketika, baru gulung.
-Ulang langkah sehingga adunan habis.
-Siap ✅

Untuk kuah putih laksam :
-Ikan kembong 5/6 ekor (ikan bersaiz sedang, jangan ikan yang kecil)
-Rebus ikan bersama asam keping dan garam, lepas tu ambil isi ikan dan blend bersama bawang putih, bwg merah dan lada hitam
-Santan kotak brand M&S 400gram (2 kotak kecil-kotak warna kuning)
-Lada hitam 3 sudu setengah (sukatan sudu kfc atau sudu kecil) blend bersama ikan
-Gula 2 sudu besar @ 1 sudu 1/2 sudu besar  (jangan penuh sangat)
-Bawang putih 3 ulas ( Blend bersama ikan)
-Bawang merah 4 biji ( Blend bersama ikan)
-Ajinomoto jika mahu
-Garam secukupnya
-Air secukupnya ( dalam 2 cawan ) *campur semua bahan dlm periuk, kacau sehingga mendidih.
-Siap ✅ *doublekan bahan jika buat banyak

Makan bersama Ulam :
-Kacang panjang – hiris
-Bunga kantan – hiris
-Daun kesum – hiris
-Kobis – hiris
-Timun batang – cincang dan hiris
-Taugeh
-(Gaulkan sekemua ulam)

P/s : Kalau nak makan jenis ada pedas-pedas sikit, Kalau tak nak makan laksam dengan ciliboh, boleh juga makan dengan sambal lada 
Resepi sambal lada
– Ambil cili padi merah 15 biji, 2 biji lada besar merah, sedikit garam & gula. Blend guna blender kering. Masukkan dlm mangkuk, letak sedikit cuka n air panas. Gaul rata. Siap  

Selamat Mencuba!
Kredit: fb Tia Rizz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 5 =

Scroll To Top