aszulqa.com

cara buat minyak buah pelaga homemade & kemujarabannya!

Pernahkah anda mendengar nama minyak buah pelaga?

Kebiasaannya minyak buah pelaga dijual secara komersial sebagai minyak essential (essential oil) buah pelaga atau dikenali sebagai ‘cardamom oil’. Minyak pati tulen semula jadi buah pelaga ini dipercayai bagus untuk penjagaan rambut, penjagaan badan, penjagaan muka, minyak urut, kosmetik, sabun dan produk lainnya.

Tahukah anda minyak buah pelaga ini boleh dibuat sendiri di rumah?
Minyak buah pelaga homemade ini sesuai dijadikan minyak urut semulajadi yang tiada sebarang campuran bahan merbahaya. Bahan-bahannya mudah didapati di sekeliling kita. Hanya 2 bahan diperlukan iaitu pati santan asli dan buah pelaga.

Jika anda biasa memasak, anda pasti mengenali buah pelaga ini yang tergolong dalam rempah 4 sekawan. Jika dibeli banyak, buah pelaga ini agak mahal kosnya, namun jika kita sekadar membeli sedikit tidaklah terasa sangat mahalnya.

Jika anda menetap di bandar kos pati santan boleh tahan juga harganya. Pati santan bermaksud perahan santan yang tiada sebarang campuran air. Walaupun bahannya cuma 2, namun waktu memasaknya memakan masa yang lama iaitu lebih kurang 2 jam dengan api yang perlahan dan anda perlu rajin mengacau supaya tidak hangit. Proses pembuatannya agak renyah dan lama namun anda pasti berpuas hati dengan hasilnya nanti!

bahan-bahan:
1.5 kg pati santan (RM20)
Buah pelaga 50g (+- RM8-RM10)
*kos tersembunyi = gas untuk memasak 2 jam, masa & kudrat tenaga

cara buat minyak buah pelaga homemade:
1] masak dengan api perlahan pati santan hingga menjadi tahi minyak, semasa memasak perlu sentiasa kacau untuk mengelakkan hangit (mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah)

 


2] keluarkan tahi minyak dan tinggalkan minyak kelapa yang terhasil (tahi minyak jangan dibuang, boleh buat kuih ini)

 

 

3] buah pelaga ditumbuk kasar, kemudian masukkan ke dalam kuali yang berisi minyak kelapa

4] kacau & masak dengan api perlahan lebih kurang setengah jam lagi
5] tapiskan buah pelaga & ambil minyaknya sahaja
6] simpan di dalam botol yang sesuai & boleh masukkan beberapa biji buah pelaga lagi ke dalam botol
7] sedia untuk diguna!

Tutorial cara buat minyak buah pelaga homemade klik sini untuk lebih faham.

Khasiat minyak buah pelaga sebagai minyak urut dipercayai dapat melembutkan urat saraf dan sendi yang keras. Sesuai untuk mengatasi masalah sakit urat. Bayangkan kita sudah seharian menghadap pc, komputer, laptop ataupun hp dalam jangka masa yang lama, lama kelamaan akan menimbulkan masalah sakit urat. Jadi boleh ikhtiarkan urut dengan minyak buah pelaga ini.

Secara fizikalnya minyak buah pelaga ini tidak panas, tetapi setelah diurut dan meresap ke dalam kulit kita dapat rasakan minyak ini ‘memanaskan’ urat di bawah kulit kita. Tidaklah ketara panasnya, siapa yang berpengalaman menggunakan minyak pelaga ini pasti dapat merasai perbezaannya. Jika ada ‘angin’ di dalam badan, ‘angin’ itu akan keluar melalui sendawa ataupun kentut. Memang anda akan merasa lega selepas itu.

Minyak buah pelaga juga dipercayai dapat membantu orang yang ada masalah strok ataupun angin ahmar. Wallahua’lam…kita boleh beriktiar, kuasa penyembuhnya tetaplah pada Allah! Petua kesihatan orang kampung ini walaupun tiada bukti secara saintifik ianya hanya boleh dibuktikan kemujarabannya apabila kita sakit dan dapat sembuh dengan rawatan alternatif sebegini! Bukan tidak boleh dibuat kajian saintifik, tetapi persoalannya pihak mana yang sanggup membiayai dana yang sangat mahal untuk kajian saintifik, berapa tahun masa diperlukan dan kumpulan bijak pandai mana yang boleh mengendalikannya. Fikir-fikirkan.

Kredit: As Zulqa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen − eleven =

Scroll To Top