Kelantan yang terkenal sebagai syurga makanan, tidak sah jika ke Kelantan jika tidak Jalan Jalan Cari Makan. Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan sudah semestinyalah mempunyai banyak port makanan menarik untuk mencuba pelbagai jenis makanan tradisional Kelantan mahupun makanan menarik yang lain.
Jika ke pusat bandar Kota Bharu, Kelantan tidak sah jika tidak berkunjung ke Pasar Siti Khadijah. Di dalam pasar Siti Khadijah itu sendiri sudah terlalu rambang mata untuk memilih makanan sedap-sedap untuk dibungkus mahupun makan di situ sahaja. Ada satu tingkat khas iaitu di tingkat satu Pasar Siti Khadijah wing baru dikhaskan untuk peniaga gerai-gerai makanan. Laksam, laksa kuah putih, sup keting, sup perut, nasi kerabu, nasi dagang, nasi campur dengan pelbagai pilihan lauk pauk, kuih muih Kelantan dan banyak lagi boleh anda dinikmati di gerai-gerai makanan di situ.
Namun jika anda ingin berkunjung ke tempat makan menarik Kelantan yang lebih santai dalam masa yang sama menyajikan pelbagai jenis makanan tradisional Kelantan anda boleh berkunjung ke Kedai Kopi Din Tokyo yang terletak di Jalan Tok Hakim, bandar Kota Bharu.
Kedai Kopi Din Tokyo terletak di deretan lot kedai lama, dan boleh dilihat dengan jelas dari jalan besar signboardnya yang berwarna hitam. Asalnya Kedai Kopi Din Tokyo ini hanyalah dari sebuah lot kedai makan kemudian berkembang sehingga kepada dua lot kedai makan.
Jika dilihat dari depan Kedai Kopi Din Tokyo ini masih mengekalkan ciri-ciri asal rekaan kedai kopi orang Kelantan zaman dulu-dulu. Rekaan dan susun atur kedai kopi berkonsepkan bar kampung dengan pelayan restoran berada di tengah-tengah bar mengambil order air dan terus membuat air pesanan pelanggan sambil ditonton oleh pelanggan.
Setelah memesan minuman, pelanggan boleh memilih sendiri menu makanan yang terpampang besar di hadapan mereka iaitu di signboard berwarna oren (menu & harga dinyatakan sekali). Makanan Kelantan seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi berlauk dan nasi tumpang ada dijual siap berbungkus dengan harga semurah RM3.50 sahaja.
Berikut adalah lokasi dan alamat Kedai Kopi Din Tokyo:
Kedai Kopi Din Tokyo KB,
3945, Jalan Tok Hakim, Bandar Kota Bharu,
15000 Kota Bharu, Kelantan