aszulqa.com

Review Netflix Drama Remarriage & Desires

Tajuk Drama: Remarriage & Desires 
Episod: 8 episod
Tayangan: Netflix
Pelakon:

  • Kim Hee-sun sebagai Seo Hye-seung. 
  • Lee Hyun-wook sebagai Lee Hyeong-joo. 
  • Jung Yoo-jin sebagai Jin Yoo-hee. 
  • Cha Ji-yeon sebagai Choi Yoo-seon.
  • Park Hoon sebagai Choi Yoo-sun. 

 

K-Drama yang bertitik tolak daripada perasaan dendam seorang isteri terhadap seorang perempuan yang pernah menjalinkan hubungan dengan suaminya sehingga menyebabkan suaminya membunuh diri akibat difitnah dan dianiaya oleh skandalnya. Isteri menyaksikan sendiri sekujur tubuh suaminya yang terjatuh ke atas kereta akibat terjunan daripada bangunan yang tinggi. Malangnya suami beliau meninggal dunia dan tidak dapat diselamatkan hingga menyemarakkan api dendam dan beliau bertekad untuk membalas dendam. Seo Hye-seung (Kim Hee-sun) ialah isteri yang dimaksudkan dan  Jin Yoo-hee (Jung Yoo-jin) ialah watak skandal perempuan itu.

Terdapat banyak konflik di dalam drama ini disebabkan masing-masing mempunyai agenda dan kepentingan tersendiri. Asasnya adalah bertunjangkan konflik kuasa politik, kuasa kewangan dan kekayaan, status sosial, taraf pendidikan tinggi dan kerjaya professional yang dimiliki.

REX adalah agensi cari jodoh ‘high class’ dan elit yang memadankan calon mengikut kategori VVIP dan VIP yang telah mereka tetapkan. REX dimiliki oleh Choi Yoo-seon (Cha Ji-yeon) Tahap kekayaan, pangkat dan kedudukan, keturunan, taraf pendidikan dan status perkahwinan adalah kriteria untuk ahli REX dipadankan samada di bawah kategori Super Black, Black, Platinum, Diamond dan sebagainya. Jika ahli ingin dinaiktaraf ke kategori yang lebih atas, mereka perlu membayar yuran keahlian lebih supaya mereka berpeluang untuk dipadankan dengan bakal jodoh berstatus sosial lebih tinggi.

Fenomena sebegini membuka mata kepada kita bahawasanya untuk ber ‘jodoh’ dengan orang yang kaya anda perlu membayar ‘harganya’ melalui agensi cari jodoh seperti REX dan ianya tidaklah mustahil. Melalui REX juga membuka mata kita bahawasanya ada segelintir orang kaya berkahwin atas dasar ‘perniagaan’ dan cinta bukanlah dasar utamanya.

Melalui REX lelaki kaya bebas mencari calon isteri yang diingini dan pengerusi REX mencadangkan lelaki kaya agar mengahwini wanita dengan terma ‘isteri untuk ditayang’ yang mana isteri wajib memiliki kriteria berketurunan bagus, taraf pendidikan tinggi, cantik dan berpenampilan menarik dan boleh dibanggai apabila di bawa ke mana-mana majlis. Dengan kata lain ‘perkahwinan adalah perniagaan’. 

Drama bermula apabila Jin Yoo-hee menyertai keahlian REX dengan matlamat untuk berkahwin dengan lelaki kaya dari ahli Super Black iaitu CEO Hilbul, Lee Hyeong-joo (Lee Hyun-wook). Seakan-akan sudah ditakdirkan, Seo Hye-seung juga telah didaftarkan ke dalam REX oleh ibunya untuk mencari jodoh. Seo Hye-seung yang pada mulanya datang untuk membatalkan keahlian REX mengubah pendirian untuk meneruskan keahlian REX apabila bertembung dengan Jin Yoo-hee di pejabat REX. 

Babak menjadi semakin dramatis apabila CEO REX menganjurkan parti  ‘bertopeng’ untuk ahli REX yang dijemput khas. Kesemua watak utama drama ini hadir pada malam tersebut. Mereka dibenarkan berkenalan dengan sesiapa sahaja yang disukai di dalam parti bertopeng yng eksklusif itu. Inilah peluang keemasan yang ditunggu-tunggu oleh Jin Yoo-hee untuk terus ‘rapat’ dengan targetnya iaitu ahli Super Black. Namun dia tersilap percaturan apabila tersalah mengejar dan menggoda Choi Yoo-sun yang disangkanya CEO Hilbul.

CEO REX, Choi Yoo-seon memberi peluang kepada kesemua ahli memilih pasangan yang disukai untuk berdating dan Jin Yoo-hee tidak melepaskan peluang ini untuk terus memilih Lee Hyeong-joo. Lee Hyeong-joo yang telah dipujuk oleh Choi Yoo-seon telah bersetuju untuk berjanji temu dengan Choi Yoo-seon. Seperti yang dijangka CEO REX, Jin Yoo-hee telah berjaya menggoda Lee Hyeong-joo untuk menyukainya menggunakan tarikan fizikal yang dimiliki perempuan itu.

Dipendekkan cerita, Lee Hyeong-joo sebenarnya tidaklah jatuh cinta pada Jin Yoo-hee. Beliau sendiri adalah duda dan trauma dengan perempuan yang suka berpoya-poya seperti bekas isterinya. Bibit cinta mula terbit terhadap Seo Hye-seung yang pandai mengambil hati anak tunggalnya apabila dia bekerja ‘freelance’ sebagai tutor di rumah agamnya itu. 

Walaupun Seo Hye-seung pernah beberapa kali cuba membocorkan rahsia skandal Jin Yoo-hee sehingga menyebabkan suaminya membunuh diri namun ada sahaja halangannya dan kemudiannya dia memutuskan untuk membocorkan rahsia itu di saat Jin Yoo-hee sudah hampir mencapai matlamatnya kelak. Dan ia benar-benar terjadi pada suatu majlis eksklusif yang dianjurkan oleh Lee Hyeong-joo ditambah dengan bukti kehadiran seorang lelaki lain yang pernah ditipu oleh Jin Yoo-hee. Walapun Jin Yoo-hee bermati-matian menafikannya, namun dia berjaya diberkas polis pada malam itu.

Drama menajdi semakin panas apabila Jin Yoo-hee dibebaskan keesokan harinya. Jin Yoo-hee tidak pernah berganjak daripada matlamat asalnya untuk mengejar Lee Hyeong-joo dan menggoda untuk mengahwininya demi status dan kemewahan. Walapun banyak kejahatan yang telah dilakukan dia masih terlepas dan akhirnya Lee Hyeong-joo bersetuju untuk mengadakan majlis perkahwinan bersama Jin Yoo-hee. 

Sebelum majlis perkahwinan Lee Hyeong-joo bersama Jin Yoo-hee berlangsung, Lee Hyeong-joo telah membongkar kesemua ‘rahsia’ yang cuba disembunyikan oleh Jin Yoo-hee di hadapan para pemberita dan media. Dan kali ini Jin Yoo-hee tidak dapat terlepas lagi.

Drama berakhir  dengan ‘happy ending’ dengan majlis perkahwinan tertutup antara Lee Hyeong-joo dengan Seo Hye-seung walaupun mungkin ramai yang berharap Seo Hye-seung berjodoh dengan cinta pertamanya, Choi Yoo-sun.

Kesimpulannya K-Drama ini berkisar tentang konflik, permainan dan agenda tersembunyi bagi setiap watak. Seo Hye-seung berjaya membuktikan bahawa kekayaan bukanlah segala-galanya untuk mencapai bahagia dalam kehidupan.

Scroll To Top