aszulqa.com

RESEPI ASAM PEDAS IKAN JENAHAK

Ramai yang masih tercari-cari resepi asam pedas ikan bersesuaian dengan lauk ikan yang nak dimasak nanti. Secara asasnya, asam pedas ikan ini boleh dipelbagaikan ikannya untuk dimasak contohnya asam pedas ikan pari, asam pedas ikan kembung, asam pedas ikan tenggiri, asam pedas ikan siakap, asam pedas ikan kerisi, asam pedas ikan patin, termasuklah asam pedas ikan jenahak.

Tik Tok: As Zulqa (klik follow)

 

Hujung minggu yang lepas kami ada membeli 2 ketul kepala ikan jenahak untuk dimasak kari kepala ikan. Memandangkan anak-anak tidak diajar untuk memakan kepala ikan (hanya kami sahaja yang makan), makanya hanya 1 ketul sahaja digunakan untuk memasak kari kepala ikan untuk sekali hidangan. Makanya…berbaki 1 ketul lagi kepala ikan jenahak….

“ermmm ikan ni nak masak apalah sedap?”

Fikir punya fikir, kebetulan daun kesum pun ada stok di dapur….makanya masuklah kita ke dapur memasak asam pedas kepala ikan jenahak.

 

Memandangkan saiz kepala ikan jenahak yang dibeli itu besar, jadinya hanya seketul kepala ikan jenahak sahaja yang ngam-ngam muat untuk dimasak di dalam periuk kami. Dah tak boleh selit lagi dah isi ikan jenahak yang lain. Tak mengapalah, ini pun sudah mencukupi untuk satu hidangan makan. Tambahan lagi jika dimakan bersama nasi panas, ulam-ulaman, ikan kering, telur dadar…fuhhh! memang ke lautlah jawabnya diet hari tu.

Saya akan bagi cara masak asam pedas ikan jenahak yang paling simple & senang tapi sedap. Cuma perlu ikut cara memasak yang betul sahaja, supaya resepi ikan ini akan menjadi dengan jayanya. Jom kita tengok bahan-bahan & cara memasak di bawah;

 

BAHAN-BAHAN:
-Kepala ikan jenahak (boleh guna apa sahaja ikan kesukaan korang seperti pari, kembung dll)

-1 sudu besar asam jawa (dicampurkan sedikit air & dibuang bijinya
-Bendi
-Daun kesum

BAHAN KISAR
-9 tangkai cili kering

-1 biji bawang merah besar
-3 ulas bawang putih

BAHAN TUMBUK
-1 Inci halia
-1 inci kunyit hidup

 

CARA MASAK
1.Setelah minyak panas, masukkan bahan yang telah ditumbuk lumat tadi (halia & kunyit hidup)

2.Kemudian masukkan bahan-bahan kisar & kacau sebati
3.Biarkan mendidih & hendaklah selalu dikacau supaya tidak hangit
4.Kemudian masukkan air asam jawa & kacau sebati. Tambahkan air secukupnya
5.Setelah masakan masak sebati, masukkan 1 sudu teh gula & 2 sudu teh garam (gula dimasukkan supaya masakan tidak pedas melampau & untuk menyeimbangkan rasa) kemudian kacau sebati
6.Setelah dimasukkan garam bolehlah dimasukkan kepala ikan jenahak pula
(*TIPS-garam perlu dimasukkan sebelum kepala ikan, jika garam dimasukkan selepas kepala ikan jenahak, agak susah untuk kacau kuahnya nanti dikhuatiri jika selalu kacau kepala ikan jenahak akan hancur)
7.Tutupkan periuk dengan penutup kemudian perlahankan api supaya ia masak sekata & tidak hangit
8.Selepas beberapa minit bolehlah dibuka penutup periuk & terbalikkan kepala ikan jenahak tadi
9.Ulang tutup periuk kembali
10.Selepas kepala ikan jenahak masak sekata, masukkan bendi & daun kesum
11.Biarkan mendidih selama beberapa saat sahaja kemudian tutup kembali periuk & segera tutup api (*TIPS-cara ini supaya bendi tidak layu, lembik atau terlebih masak)

 

Kalau taknak tersasar dari cara yang betul untuk memasak asam pedas ikan jenahak, wajib tengok & subscribe video bawah ni ye 😉

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ten − 8 =

Scroll To Top