aszulqa.com

OPR NAIK DAN RAHSIA CARA BAYAR HUTANG RUMAH DENGAN CEPAT

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia telah membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman ataupun OPR (Operating Policy Rate) kepada 3.0% pada Mei 2023. Ini adalah kenaikan OPR kali pertama pada tahun 2023.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, OPR naik apa kesan? Jadi berikut ialah kesan kenaikan OPR (Operating Policy Rate) di Malaysia:

  1. Penurunan permintaan hutang: Kenaikan OPR akan menyebabkan kadar faedah bank meningkat, yang mana mendorong peningkatan kos pembiayaan pinjaman seperti pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, ASBF dll. Ini mungkin mengurangkan permintaan hutang dalam jangka pendek.

  2. Penurunan belanja pengguna: Kenaikan kadar faedah boleh menyebabkan pengurangan dalam pengeluaran pengguna, kerana kos pinjaman meningkat dan memberi kesan pada pengguna yang bergantung pada pinjaman untuk membuat pembelian besar-besaran seperti rumah dan kenderaan.
  3. Penurunan pelaburan: Kenaikan OPR juga boleh menyebabkan pengurangan dalam pelaburan, kerana kos pembiayaan meningkat. Ini mungkin mempengaruhi syarikat dan industri yang bergantung pada pelaburan untuk membesarkan dan memperluaskan perniagaan mereka.
  4. Peningkatan nilai mata wang: Kenaikan OPR boleh meningkatkan nilai mata wang negara tersebut kerana ia membuat pelabur luar negeri lebih tertarik untuk melabur dalam pasaran wang negara itu, memberi kesan pada pertukaran wang yang lebih baik.
  5. Menstabilkan inflasi: Tujuan utama kenaikan OPR adalah untuk menstabilkan inflasi. Dengan meningkatkan kos pinjaman, bank akan lebih berhati-hati dalam memberikan pinjaman, yang mendorong pengurangan dalam pengeluaran dan mengurangkan risiko inflasi. Dengan kata mudah, peningkatan OPR dilakukan untuk memperlahankan aktiviti ekonomi supaya tidak berlaku kenaikan kadar inflasi.

 

 

Rasa khuatir pasti wujud dalam kalangan peminjam terutama bagi mereka yang mempunyai pembiayaan dalam hartanah khususnya pembeli rumah. Kesan OPR kepada pinjaman perumahan ialah kadar pinjaman perumahan turut naik apabila kadar OPR naik. Untuk mengurangkan kerisauan anda dengan kenaikan OPR, apakata anda berusaha untuk mempercepatkan pembayaran pinjaman perumahan supaya anda bebas daripada ‘mortgage loan’ dan hidup lebih tenang. Terdapat beberapa cara membayar hutang rumah dengan lebih cepat yang telah terbukti berkesan.

Jadi sebelum mendedahkan cara menyelesaikan hutang rumah cepat, anda perlu kenalpasti jenis pembiayaan perumahan yang anda tandatangi bersama pihak bank. Secara asasnya, terdapat 3 kategori pinjaman perumahan utama yang ditawarkan di Malaysia iaitu pinjaman asas, semi-fleksi dan full fleksi. Ketiga-tiga jenis pinjaman perumahan ini  berbeza dari segi pembayaran semula dan kadar faedah.

Untuk anda yang ingin melangsaikan hutang rumah lebih cepat anda perlulah memastikan pembiayaan perumahan adalah adalah jenis semi-flexi ataupun full-flexi (anda boleh semak di dalam ‘loan agreement’ pinjaman perumahan anda). Selain itu anda perlulah memastikan anda tidak akan terkena denda kerana melanggar tempoh terkunci (lock-in period) yang selalunya mengambil masa antara 3 tahun – 5 tahun (boleh semak ‘mortagage loan’ anda) dari saat anda mula membayar pinjaman perumahan tersebut.

 

 

Berikut ialah cara untuk membayar hutang rumah lebih cepat

1. Bayar lebih dari jumlah minimum setiap bulan. Setiap kali membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan, pastikan anda membayar lebih dari jumlah minimum yang ditetapkan dalam jadal pembayaran. Cara ini dapat membantu mengurangkan bunga (interest) dan dapat melangsaikan hutang rumah dengan lebih cepat.

Contohnya: ansuran bulanan loan rumah anda adalah RM700, maka anda cuba lebihkan sejumlah RM100 setiap bulan secara konsisten menjadikan ia RM800 dan anda akan dapat nampak perbezaan tempoh pinjaman perumahan berkurangan.

 

2. Bayar dua kali ganda daripada ansuran bulanan. Dengan cara ini anda akan nampak perbezaan ‘loan tenure’ yang lebih ketara. Contohnya daripada pinjaman perumahan daripada 30 tahun berkurang menjadi 15 tahun sahaja untuk diselesaikan.

Contohnya: ansuran bulanan pinjaman perumahan anda adalah RM700, maka anda cuba bayar dua kali ganda iaitu sejumlah RM1,400 setiap bulan secara konsisten dan anda akan dapat nampak perbezaan tempoh pinjaman perumahan berkurang secara ketara.

 

3. Membayar duit tambahan yang banyak untuk pinjaman pokok. Setiap tahun, jika anda menerima bonus, dividen ASB atau pengeluaran akaun 2 KWSP anda boleh menggunakannya untuk membayar hutang rumah. Pergi ke bank dan beritahu anda ingin meletakkan sejumlah wang secara ‘lump sum’ ke dalam akaun principal ataupun pinjaman pokok bagi mengurangkan loan rumah anda. Ataupun setiap kali anda ada lebihan duit yang banyak, anda gunakan sahaja duit itu membayar pinjaman pokok secara ‘lump sum’. Klik sini untuk mengetahui cara cari duit lebih. Dengan cara membayar principal loan rumah lebih ini akan dapat membantu anda membayar hutang rumah lebih cepat dalam masa yang sama dapat mengurangkan jumlah bunga yang harus dibayar.

Contohnya: anda mendapat bonus sebulan gaji, maka anda perlu pergi ke bank dan  beritahu ingin membayar pinjaman pokok loan rumah anda. Lakukannya ini setiap tahun secara konsisten sehingga pinjaman perumahan anda habis selesai.

 

4. Untuk pengurangan tempoh pinjaman yang lebih banyak dan ketara, anda boleh gabungkan teknik 1 dan 3 ataupun teknik 2 dan 3. Semestinya teknik 2 dan 3 lebih ketara impaknya. Namun segala-galanya bergantung pada pengurusan kewangan anda.

 

 

Tips bayar hutang rumah cepat ataupun langsaikan hutang rumah cepat di atas adalah untuk anda yang sudah membeli rumah dan membayar ansuran bulanan. Namun, adalah lebih baik jika anda mengetahui tips bayar hutang rumah lebih cepat dari saat anda belum membeli rumah dan masih dalam fasa ‘survey’ lagi. Dengan mempraktikkan beberapa tips dan cara di bawah, anda dapat memendekkan tempah pinjaman yang kebiasaan orang ambil iaitu antara 30 tahun hingga 35 tahun .

 

1. Bayar downpayment tinggi

Kebiasaannya pembeli akan membuat bayaran minimum pembelian rumah iaitu sebanyak 10% daripada harga pasaran rumah. Namun, sekiranya anda berkemampuan dan memiliki duit lebih maka anda digalakkan membuat pembayaran deposit melebihi 10% samada 15%, 20%, 30%, 50% atau apa sahaja amaun yang anda mampu. Percayalah, semakin banyak anda bayar ‘downpayment’, semakin sedikit hutang anda dengan bank maka anda tidak menanggung beban membayar ‘interest’/ faedah yang tinggi.  

 

2. Pilih pinjaman flexi/ pembiayaan fleksi

Pembiayaan fleksi atau “flexible financing” adalah suatu bentuk pembiayaan yang membolehkan anda mengubah atau menyesuaikan pembayaran mengikut kemampuan asalkan jadual tetap pembayaran lunas. Dengan kata lain, pinjaman fleksi memberikan fleksibiliti kepada peminjam untuk menyesuaikan pembayaran mereka  bersesuain dengan keaadaan kewangan semasa peminjam.

Contohnya, ada mempunyai lebihan wang yang banyak kemudian memasukkannya ke dalam akaun pinjaman rumah, maka faedah atas jumlah keseluruhan pinjaman anda dapat dikurangkan. Jumlah lebihan wang ini akan menjadi ‘floating’ di dalam akaun dan kelebihannya ialah lebihan duit ini dapat dikeluarkan bila-bila masa sahaja jika anda memerlukannya kelak.

 

2. Pilih pakej pinjaman perumahan dengan kadar faedah paling rendah

Anda perlu rajin membuat ‘survey’ dan perbandingan kadar faedah di beberapa bank yang anda berminat. Jangan hanya tertumpu kepada satu bank sahaja. Lebih banyak bank yang anda ‘survey’ lebih baik kerana anda perlu memilih pakej pinjaman rumah terbaik dengan kadar faedah paling rendah. Lebih rendah kadar faedah, lebih kuranglah ansuran bulanan anda.

 

Kesimpulannya, pengurusan kewangan adalah penting supaya anda dapat melunaskan hutang piutang dengan lebih cepat. Kebebasan kewangan (‘financial freedom’) adalah impian setiap orang, jadi anda perlu bijak menguruskan kewangan terutamanya pinjaman perumahan supaya tidak tertekan setiap kali kadar OPR meningkat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 − 3 =

Scroll To Top