aszulqa.com

Tarikh Hari Arafah, puasa sunat hari Arafah 2023 & Kelebihan hari Arafah

Tarikh Hari Arafah 2023 jatuh pada 28 Jun 2023 (Rabu) bersamaan dengan 9 Zulhijjah 1444. Ini bermakna tarikh puasa Arafah di Malaysia juga jatuh pada 28 Jun 2023. Puasa sunat hari Arafah amat digalakkan bagi umat Islam yang tidak menunaikan ibadah Haji kerana terdapat banyak kelebihannya tambahan lagi doa sangat mustajab pada waktu ini.

 

Daripada Abu Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, Apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah :
“Puasa pada hari tersebut (Hari Arafah) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (HR. Muslim,1977)
Pada hari Arafah pintu langit di buka seluas-luasnya dan Allah maha mendengar segala doa dari hambnya yang meminta kerana sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah.
“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah :
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT yang satu saja, tidak ada sekutu bagiNya, milikNya kekuasaan dan milikNya segala pujian, dan Dia Maha Mampu atas segala sesuatu.” HR Tirmizi, 3585

 

 

KELEBIHAN HARI ARAFAH :
Terdapat banyak kelebihan hari Arafah yang jika diketahui ramai umat Islam pasti mereka akan ‘mengejar’ pahala hari Arafah ini sepertimana mereka ‘mengejar’ malam lailatulqadar. Perbezaan hari Arafah dan malam lailatulqadar yang sangat ketara ialah hari Arafah sudah diketahui tarikhnya secara nyata namun tarikh lailatuqadar tidak diketahui umat Islam. Malaikat turun pada malam lailatulqadar manakala pada hari Arafah, segala doa muslimin dan muslimat akan didengari oleh Allah dan amat mustajab.

Merujuk kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berikut ialah kelebihan-kelebihan hari Arafah:


1] Hari Arafah adalah rukun daripada haji.
Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)]

 

 

2] Hari Arafah adalah hari di mana agama ini telah sempurna.

 

  • Daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepadanya:

 

يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَقْرَءُونَهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: “اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا” [المائدة: 3] قَالَ عُمَرُ: قَدْ عَرَفْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالمَكَانَ الَّذِي نَزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ

Maksudnya: “Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”. [Riwayat al-Bukhari  (43) dan Muslim (5334)]

 

 

3] Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam.

 

  • Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”. [Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]

 

 

4] Hari Arafah adalah hari Penyaksian.         

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

اليَوْمُ المَوْعُودُ يَوْمُ القِيَامَةِ، وَاليَوْمُ المَشْهُودُ يَوْمُ عَرَفَةَ، وَالشَّاهِدُ يَوْمُ الجُمُعَةِ

Maksudnya: “Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari  Mayshud adalah hari Arafah serta  al-Syahid adalah hari Jumaat”. [Riwayat al-Tirmizi (3262)]

 

 

5] Kebesaran berdoa di hari Arafah.

 

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (3509)]

 

 

6] Puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

 

  • Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

 

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

 

 

7] Hari pengampunan dan pelepasan dari api neraka.         

 

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”.  [Riwayat Muslim (2402)]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 + 1 =

Scroll To Top