aszulqa.com

Rawatan Kiropraktik Malaysia

Kiropraktik adalah satu kaedah rawatan alternatif yang semakin mendapat perhatian di Malaysia. Ianya adalah salah satu cabang rawatan alternatif selain daripada perubatan konvensional yang sedia ada seperti ubat-ubatan dan pembedahan. Mungkin ramai yang biasa melihat video Youtube ataupun video pendek Tik Tok dengan aksi tulang yang diperbetulkan hingga mengeluarkan bunyi kruppp krap kruppp krappp! Itulah gambaran awal kepada rawatan kiropraktik yang dimaksudkan.

 

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa itu kiropraktik dan maksud kiropraktik.

Kiropraktik ialah suatu rawatan alternatif yang memfokuskan pada terapi pembetulan sistem muskuloskeletal yang terdiri daripada tulang belakang, tulang rawan, sendi, otot dan tendon yang boleh menjejaskan saraf badan. Sistem muskuloskeletal inilah yang melindungi organ manusia dan  berfungsi menyokong tubuh seseorang dan membolehkan seseorang bergerak dengan sempurna . Dengan kata lain kiropraktik ialah teknik memanipulasi tulang belakang, sendi dan otot untuk kembali ke kedudukan asalnya bagi merawat punca sakit saraf dan sendi. Manakala kiropraktor pula adalah gelaran kepada perawat yang melalukan rawatan kiropraktik terhadap pesakit. 

Kiropraktik tradisional menganggap bahawa tulang belakang yang tidak berada pada kedudukan yang betul atau disfungsi sendi tulang belakang akan mengganggu pelbagai fungsi tubuh badan lain hingga mengakibatkan pelbagai kesakitan dan penyakit.

 

Bagaimana kiropraktik dilakukan?

Kiropraktik menggunakan teknik urutan, tekanan dan penarikan pada tulang belakang atau pun sendi-sendi anggota badan menggunakan tangan bagi memulihkan sendi- sendi yang terkehel dan terkeluar dari kedudukan asalnya (dislokasi).

Kebanyakan kiropraktor memberikan tumpuan utama kepada manipulasi tulang belakang kerana kebanyakan masalah berpunca daripada tulang belakang. Manipulasi kiropraktik berupaya mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi mekanikal atau pergerakan seseorang. Kiropraktor bukan sahaja memastikan sendi bergerak dengan betul tanpa kesakitan, tetapi juga memastikan otot-otot di sekelilingnya berfungsi dengan baik.

Kiropraktik juga dapat mengatasi masalah saraf tersepit yang boleh mengakibatkan banyak masalah kesihatan seperti kebas, tegang urat, sakit pinggang, sakit belikat, sakit bahu, sakit kepala dan sebagainya. 

Kebanyakan masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan cuma memakan ubat yang hanya menghilangkan sakit untuk sementara (pain killer) namun tidak merawatnya.

 

Apakah sakit yang boleh dirawat oleh kiropraktik?


Antaranya ialah sakit pinggang, sakit leher, sakit belakang, sakit leher, sakit kepala, kebas kaki, kebas tangan, skoliosis, ‘slip disk’ dan sebagainya.

 

Bagaimana proses rawatan kiropraktik?

Pada sesi rawatan kiropraktik, kiropraktor akan membuat diagnosis dan melakukan penilaian menyeluruh terhadap kesihatan tulang belakang, sendi dan otot pesakit. Kemudian kiropraktor akan memulakan rawatan dan akan mencadangkan rawatan susulan jika diperlukan.

Kiropraktor profesional selalunya akan mencadangkan rawatan fisioterapi selepas selesai rawatan kiropraktik untuk kesan pemyembuhan yang lebih ketara. Namun terpulang kepada pesakit untuk memilih samada ingin mendapatkan rawatan kiropraktik sahaja ataupun kiropraktik bersama fisioterapi.

Antara masalah biasa yang dijumpai oleh kiropraktor dan tidak ramai pesakit menyedarinya ialah kaki kiri lebih pendek sedikit berbanding kaki kanan, bahu senget sebelah dan sebagainya.

Kiropraktor selalunya akan menasihati anda untuk sentiasa menjaga postur badan walau dalam apa jua posisi samada posisi anda di meja, berdiri, berjalan, hatta posisi tidur yang betul. Anda perlu sentiasa menjaga posisi mengangkat barang berat dengan betul kerana banyak juga masalah berpunca dari posisi mengangkat barang yang salah.

 

Kelebihan Kiropraktik di Malaysia:

 

  1. Menambahbaik fungsi sendi dan pergerakan
    Kiroparktik dapat menam­bahbaik fungsi sendi, mengurangkan kesakitan dan mengelakkan kecacatan kekal. Ia juga dapat membantu proses rehabilitasi.
  2. Rawatan holistik:
    Kiropraktik tidak hanya merawat simptom-simptom, tetapi juga memberi tumpuan kepada punca masalah. Ini membantu individu mencapai kesihatan holistik.
  3. Tanpa pembedahan dan lebih murah:
    Bagi sesetengah individu yang ingin mengelakkan pembedahan tulang dan sendi, boleh mencuba rawatan alternatif kiropraktik terlebih dahulu. Pembedahan semestinya ada risiko dan kosnya juga tinggi berbanding kos kiropraktif yang lebih murah, kurang risiko dan kesakitan.
  4. Meningkatkan Kualiti Hidup:
    Dengan merawat masalah tulang belakang, kiropraktik dapat membantu meningkatkan kualiti hidup melalui peningkatan mobiliti dan mengurangkan kesakitan. Pesakit yang susah bergerak atau pergerakannya terhad selama ini dapat hidup selesa seperti orang lain juga.
  5. Pencegahan masalah kesihatan:
    Kiropraktik bukan hanya untuk merawat masalah yang sedia ada tetapi juga membantu dalam pencegahan masalah kesihatan pada umumnya.

 

Rawatan kiropraktik semakin lama semakin diterima di Malaysia. Kiropraktik adalah rawatan komplementari yang memanipulasi tulang belakang, sendi dan otot dengan tangan tanpa menggunakan sebarang peralatan canggih mahupun ubat-ubatan. Anda yang sudah serik makan ubat namun tidak juga sembuh-sembuh boleh mencuba kaedah kiropraktik dan rasai sendiri perubahannya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven − eight =

Scroll To Top