aszulqa.com

Cara Berjumpa Doktor Pakar di Hospital Swasta dengan Mudah Menggunakan Medical Card

Cara berjumpa doktor pakar di hospital swasta menggunakan medical card sebenarnya mudah jika anda mengetahui langkah-langkahnya dengan betul.

 

Bayangkan anda sudah lama mengalami sakit yang tidak diketahui puncanya dengan jelas. Apabila pergi ke Klinik Kesihatan atau klinik swasta, namun setelah di periksa bacaan FBC (Full Blood Count) dan urine adalah normal maka anda hanya akan diberi ubat tahan sakit sahaja. Sakit datang ‘on’ dan ‘off’, dan anda sudah penat berulang ke klinik beberapa kali tanpa sebarang ‘check up’ yang lebih mendalam dan terperinci. Maka di sinilah anda baru tersedar pentingnya medical card jika anda ingin mendapatkan khidmat perubatan lebih cepat & selesa. 

Anda mempunyai pilihan untuk mendapatkan rujukan doktor pakar di hospital kerajaan namun prosesnya mengambil masa yang lama selama berbulan-bulan menunggu. Jika anda sabar menunggu tidak mengapa. Namun jika anda risau penyakit anda akan bertambah teruk, dan ingin mengetahui dan mendapat rawatan awal sebelum sakit menjadi kronik atau kritikal maka doktor pakar di hospital swasta adalah jawapannya.

Medical card adalah alat yang penting dan berharga sebagai ‘payung’ untuk penjagaan kesihatan anda. Ia adalah akses kepada pelbagai perkhidmatan perubatan professional, termasuk berjumpa dengan doktor pakar di hospital swasta tanpa perlu membayar secara tunai.

Sekiranya anda sudah bertahun-tahun memiliki medical card dan tidak pernah menggunakannya untuk berjumpa doktor pakar, di sini kami akan  kongsikan langkah demi langkah mudah untuk berjumpa doktor pakar di hospital swasta menggunakan medical card anda.

 

Langkah 1:
Dapatkan Surat Rujukan daripada Klinik Berdekatan

Pertama sekali, anda perlu ke Klinik Kesihatan berdekatan anda ataupun klinik swasta (jika ada klinik panel lebih bagus). Kebiasaannya jika masalah kesihatan anda sudah berlarutan, klinik akan membuat ujian darah, ujian air kencing ataupun Xray.

Minta doktor buatkan surat rujukan kepada doktor pakar berkaitan sakit anda. Sebagai orang awam, kita sendiri tidak pasti doktor pakar bidang apa yang sepatutnya merawat sakit kita ini. Jadi disinilah pentingnya peranan doktor klinik tersebut untuk merujuk anda kepada doktor pakar yang tepat. Bawa surat rujukan beserta keputusan ujian kesihatan (jika ada) ke hospital swasta yang bakal anda pilih kelak.

 

Langkah 2:
Pilih  Doktor Pakar & Hospital Swasta yang Anda Inginkan

Lakukan survey terlebih dahulu untuk memilih doktor pakar dan hospital swasta yang ingin anda kunjungi. Hospital-hospital swasta biasanya menawarkan perkhidmatan perubatan yang berkualiti tinggi dengan kemudahan yang selesa. Pastikan hospital yang anda pilih itu tersenarai sebagai panel hospital yang menerima medical card anda. Anda boleh mendapatkan senarai hospital-hospital yang di’cover’ oleh syarikat insurans anda melalui laman web mereka atau dengan menghubungi syarikat insurans atau agent anda sendiri.

Pemilihan doktor pakar sangat penting, boleh lihat ‘google review’ yang ditulis oleh pesakit yang pernah berpengalaman mendapatkan khidmat perubatan dari doktor pakar yang bakal anda pilih. Banyakkanlah berdoa semoga doktor pakar yang anda pilih dapat membuat diagnosis yang tepat untuk penyakit anda dan paling penting mereka ‘mendengar’, memahami dan memberikan penerangan yang jelas tentang penyakit yang anda risaukan itu.

Doktor pakar yang bersifat empati dan bertanggungjawab juga sangat penting yang bukan hanya menganggap ‘sakit’ anda itu sebagai bisnes semata-mata (yang sudah berpengalaman banyak kali berjumpa berlainan doktor pakar, pasti akan faham apa yang kami maksudkan di sini). 

 

Langkah 3:
Buat Temujanji dengan Doktor Pakar

Selepas memilih hospital dan doktor pakar bersesuaian, langkah seterusnya adalah untuk membuat temujanji. Anda boleh membuat temujanji dengan menghubungi hospital atau klinik pakar berkenaan. Pastikan anda memberitahu mereka bahawa anda akan menggunakan medical card untuk perkhidmatan perubatan anda.

 

 

Langkah 4:
Daftar Masuk di Klinik Doktor Pakar Berkenaan

Pada hari temujanji anda, pergilah ke hospital dan daftar masuk di kaunter pendaftaran klinik pakar doktor berkenaan. Pastikan anda membawa medical card anda (jika ada kad) bersama-sama dengan dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan (IC) atau pasport. Kakitangan hospital akan memeriksa butiran anda dan mengesahkan maklumat medical card anda.

 

 

Langkah 5:
Berjumpa dengan Doktor Pakar

Setelah pendaftaran selesai, anda perlu menunggu giliran anda untuk berjumpa dengan doktor pakar. Apabila berjumpa doktor pakar, beliau akan menilai keadaan kesihatan anda, melakukan ujian-ujian jika diperlukan. Paling penting anda membawa surat rujukan klinik untuk ditunjukkan kepada doktor pakar.

Pastikan anda mengemukakan semua soalan dan kebimbangan anda kepada doktor untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai keadaan anda. Terangkan dengan jelas kepada beliau bahawa anda menggunakan medical card untuk kemasukan wad.

Doktor pakar perlu membuat ‘report’ untuk memohon GL (Guarantee Letter) dari pihak insurans anda. Kebiasaannya surat rujukan klinik yang anda bawa akan dikepilkan sekali untuk proses kelulusan GL.

 

Langkah 6:
Kelulusan Guarantee Letter (GL)
Proses kelulusan GL dari syarikat insurans selalunya mengambil masa 1-3 jam waktu bekerja. Jika di luar waktu bekerja mungkin lebih lama. Anda boleh keluar dari hospital untuk sementara untuk makan atau menyelesaikan sebarang urusan anda dan meminta staff hospital untuk menghubungi anda apabila GL sudah diluluskan.


Apabila GL sudah diluluskan, anda perlu datang untuk tandatangan. 
Anda mungkin perlu membayar sejumlah deposit ataupun tidak perlu langsung, bergantung kepada polisi insurans yang anda ambil tetapi bayaran utama untuk perkhidmatan doktor dan rawatan akan ditanggung oleh syarikat insurans melalui medical card anda.


Kemudian anda perlu menunggu lagi sekiranya wad anda belum ‘ready’. Sekiranya anda bernasib baik, bilik anda sudah tersedia dan anda boleh terus ‘check in’ untuk kemasukan wad. Kebiasaanya pesakit wad sedia ada akan ‘check out’ selepas pukul 3 petang, maka peluang anda untuk masuk wad dianggarkan antara jam 3 petang hingga 6 petang.

 

Langkah 7:
Kemasukan Wad
Apabila selamat memasuki wad, anda tidak perlu risau lagi kerana doktor pakar akan melakukan pemeriksaan terperinci samada melalui ‘advance blood test’, CT scan, MRI, ultrasound dan sebagainya. Ini akan di ‘cover’ oleh insurans dan jika ada yang tidak di ‘cover’ anda akan diberitahu kelak dan selalunya jumlahnya tidaklah banyak berbanding bil hospital swasta yang mencecah ribuan ringgit untuk semalaman. Kelak anda akan diberikan rawatan yang sesuai untuk penyakit anda.

 

Kelebihan Penggunaan Medical Card untuk Berjumpa Doktor Pakar di Hospital Swasta

Penggunaan medical card untuk berjumpa doktor pakar di hospital swasta membawa banyak kelebihan, antaranya:

1. Akses Pantas

Anda boleh mendapatkan rawatan yang lebih cepat berbanding proses pengurusan bayaran tunai.

2. Fleksibiliti Pilihan  Doktor Pakar dan Hospital Swasta

Medical card memberikan anda kebebasan memilih doktor pakar dan hospital swasta yang sesuai dengan keperluan dan keselesaan anda.

3. Kurang Beban Kewangan

Bayaran untuk perkhidmatan perubatan utama akan ditanggung oleh syarikat insurans, menjimatkan anda daripada perbelanjaan besar secara tunai.

 

Kesimpulannya

Medical card adalah alat yang berharga untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti, terutama untuk berjumpa doktor pakar di hospital swasta tanpa perlu menunggu berbulan-bulan lamanya. Dengan mengikuti langkah-langkah mudah seperti di atas, anda dapat menjadikan penggunaan medical card sebagai cara yang mudah dan efisien untuk mendapatkan rawatan yang anda perlukan tanpa perlu membayar secara tunai. Pastikan anda sentiasa memahami terma dan syarat medical card anda, serta mengikuti senarai hospital yang disokong untuk memastikan pengalaman yang lancar dalam berjumpa doktor pakar. Jika ada sebarang keraguan, anda boleh berhubung terus dengan agent insurans anda ataupun talian hotline syarikat insurans anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × three =

Scroll To Top