aszulqa.com

bila ada simptom kebas-kebas, kesemutan, rasa mencucuk apa perlu dibuat?

Seiring dengan peningkatan usia, pasti akan ada masalah kesihatan yang mengganggu samada sedikit atau banyak. Tambahan lagi dengan pelbagai makanan moden sekarang yang banyak ‘unsaturated fat’, minuman ‘boba’, pelbagai minuman berwarna-warni menarik, makanan segera dan sebagainya. Disebabkan kesibukan menguruskan rutin harian, tidak sempat bersenam dan tidur lambat menambahkan lagi isu kesihatan yang timbul seiring dengan peningkatan usia.

Adakah anda sering merasa simptom kebas-kebas, kesemutan seperti rasa tajam, rasa ada benda menjalar dari dalam kulit, rasa tebal pada sesetengah anggota badan seperti hujung jari tangan atau kaki menyebabkan kurang rasa/ sensasi, kadang-kadang seperti ada renjatan karen eletrik yang lemah dan rasa yang mencucuk-cucuk di hujung jari….kesemua itu boleh dirasai di kesemua bahagian anggota badan terutamanya bahagian tangan dan kaki. Rasa yang mencucuk-cucuk boleh dirasai di hujung jari tangan dan jari kaki.

Setelah dibuat pemeriksaan darah untuk paras gula dan kolesterol, kemudian didapati kesemua keputusan darah masih di paras normal…tiada kencing manis, kolesterol tinggi mahupun darah tinggi. Sudah puas berulang alik ke klinik, disebabkan keputusan darah yang normal maka anda pulang begitu sahaja, namun simptom-simptom di atas tetap juga tidak berkurang. Sudah jenuh mencari punca, puas meng ‘google’ sana-sini namun kebanyakan carian mengatakan itu mungkin simptom kencing manis tidak terkawal, kolesterol tinggi ataupun tekanan darah tinggi.

Ada juga kemungkinan anda kekurangan vitamin dan mineral penting seperti vitamin B-12 yang penting untuk kesihatan saraf. Jadi anda boleh berusaha untuk mengambil supplement vitamin B, salah satunya boleh dibeli di farmasi iaitu neurobion. Jika simptom tersebut masih juga tidak berkurangan doktor mungkin akan mengambil darah anda untuk ujian darah yang lebih spesifik seperti ujian darah:
-RA (Rheumatoid Arthritis) untuk mengesan penyakit arthritis
-ANA (Antinuclear Antibody) untuk mengesan penyakit autoimun tertentu contohnya SLE/ Lupus
-TSH (Thyroid Stimulating Hormone) untuk mengesan masalah hormon tiroid

Walaupun selepas menjalani ujian darah RA, ANA dan TSH, keputusan darah tetap normal dan anda tiada sebarang penyakit di atas namun simptom kesemutan dan kebas tidak hilang, tetap ada walaupun ‘on’ dan ‘off’ setiap masa menyebabkan anda bingung apakah sebenarnya masalah yang mengganggu kesihatan anda. 

Ilmu mahal ini sis dapat daripada seorang doktor perubatan setelah beberapa kali berjumpa dengan beberapa orang doktor perubatan yang berlainan. Hanya doktor yang terakhir sahaja yang berjaya memberikan maklumat yang tepat. Simptom kebas-kebas, kesemutan, rasa seperti ada benda menjalar dari dalam kulit dan kadang-kadang seperti ada renjatan eletrik yang lemah dan rasa yang mencucuk-cucuk di hujung jari kaki dan tangan ini dinamakan sebagai ‘PARESTHESIA’. Kalaulah dari dulu sis tahu term ‘paresthesia’ tidaklah sis pening kepala mencari info tentang simptom-simptom yang sis sebutkan di atas. Untuk maklumat yang lebih terperinci bolehlah anda ‘google’ tentang ‘paresthesia’.

Setelah segala ujian darah seperti di atas dijalankan dan keputusannya tetap normal, mungkin anda akan dirujuk kepada pakar neurologi (neurologist). Neurologist mungkin akan mencadangkan anda untuk melakukan beberapa ujian darah yang lebih spesifik dan ujian diagnostik seperti di bawah:
-X-Ray atau CT scans
-MRI brain
-MRI spine
-NCS (Nerve Conduction Studies) dapat mengenal pasti masalah seperti Carpal Tunnel Syndrome (CTS)

Jadi sekiranya anda mengalami simptom kebas dan kesemutan yang berlarutan walapun on dan off, eloklah anda berjumpa dengan pakar neurologi untuk mengenal pasti adakah saraf otak atau saraf tunjang anda yang menyebabkan simptom-simptom tersebut ataupun tidak. Ujian di atas dapat memastikan samada anda bebas ataupun menghidap penyakit multiple sclerosis (MS) atau simptom awal strok/ angin ahmar.

Semoga perkongsian ini dapat merungkaikan kebingungan tentang masalah kesihatan berkaitan simptom kesemutan juga kebas kaki dan tangan yang tidak pernah selesai. Juga dapat membantu anda mendapatkan gambaran ujian diagnostik yang boleh dilakukan untuk mengenalpasti punca dan penyakit yang mungkin anda alami.

Scroll To Top