aszulqa.com

Pengalaman masuk kecemasan hospital shah alam

Sambungan dari luka dahi anak yang bernanah sebelum ini……..maka sesampainya kami di Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Shah Alam jam 10.30 malam, saya terus ke Kaunter Triage Primer (Primary Triage). Staf disitu memeriksa keadaan anak kemudian memberi nombor giliran.

Dengan nombor giliran itu, sis perlu beratur sebelum dibenarkan masuk ke dalam kawasan hospital di kecemasan tu. Anak sis tunggu dengan suami dalam kereta, risau sangat berjangkit macam-macam kuman kat sini, sebab ada juga dua budak-budak yang kelihatan demam teruk didukung ibunya dalam barisan itu. Pengawal keselamatan ada berjaga di hadapan pintu, tugasnya mengawal jumlah pesakit yang dibenarkan masuk ke dalam.

Sis tengok kat dalam tu lebih kurang 4-6 pesakit sahaja dibenarkan masuk untuk satu-satu masa. Bila pesakit kat dalam dah selesai saringan, cek suhu dan sebagainya dengan Medical Officer dan dibenarkan bergerak ke kaunter pendaftaran barulah pengawal keselamatan membenarkan pesakit baru masuk ke dalam. Panjang juga barisannya, lebih kurang 1 jam menunggu sebelum dibenarkan masuk. 

Apabila dibenarkan masuk ke dalam, menunggu lagi 4 pesakit di depan. Dah hampir sampai giliran baru sis call suami minta hantarkan anak. Jadi, bila sampai giliran kami…anak sis diperiksa suhu, ‘heart beat’ dan soalan-soalan yang berkaitan luka dahi anak. Kemudian kami diminta mendaftar di kaunter pendaftaran dengan bayaran RM1 sahaja. 

Selesai urusan pendaftaran kami perlu menunggu nombor giliran dipanggil. MO tadi suruh kami tunggu kat ‘area’ sebelah kiri kaunter pendaftaran. Rupanya, kawasan situ adalah untuk ‘dengue bay’…kebanyakannya kes demam denggi. Takdelah sis risau sangat tunggu situ mengenangkan denggi ni tak berjangkit.

Lebih kurang jam 1.30 pagi nombor giliran kami dipanggil untuk masuk ke bilik doktor. Setelah memeriksa doktor memberitahu luka itu tak sepatutnya bernanah. Disebabkan anak ada panas badan, muntah dan cirit-birit maka ujian darah/ blood test perlu dilakukan. Betullah seperti jangkaan sis, memang memerlukan blood test untuk kenalpasti jika ada apa-apa jangkitan yang tidak kena. Doktor juga memaklumkan untuk keputusan darah akan mengambil masa 1-2 jam. 

Selepas darah anak diambil, kami perlu ke bilik prosedur pula untuk ‘wound dressing’. Bilik prosedur ni betul-betul berhadapan dengan wad pesakit Covid19. Terpaksalah sis pasrah menunggu di situ. Bila tiba giliran anak, pelekat luka dibuka sepenuhnya oleh staf dan memang sahlah bernanah! Luka nampak terbuka dan staf beritahu luka itu tak sepatutnya terbuka macamtu. Kesian anakku, luka terpaksa dicuci balik…kena korek sikit lepas tu baru dicuci dan digam lukanya. Nasib baik dia kuat semangat tak melawan. Kalau kat rumah sis nak sentuh sikit kemain meraung dia tak bagi tapi kalau orang lain buatkan baik pula dia….alahai la anak!

Lebih kurang pukul 2 pagi dah selesai prosedur cuci dan gam luka. Kami perlu menunggu lagi untuk keputusan darah pula. Sis dah tak tahan nak buang air kecil, maka sis telefonlah suami ambil kami bawa ke tandas kat petrol pam di luar. Sekitar tepi jalan menuju kecemasan dipenuhi dengan kereta yang parking termasuklah kereta suami sis. Kasihan dia lama menunggu kepanasan kat tepi jalan. Alang-alang dah keluar sis belilah air dan roti sekali, kelaparan juga tunggu lama.

2.30 pagi dah selesai urusan kat luar, sis masuk balik ke dalam tunggu giliran. Jam 3.30 pagi mata dah mula mengantuk, bila sampai jam 4 pagi nombor anak belum dipanggil sis dah tak senang duduk, kot-kot masa sis keluar tadi doktor dah ada panggil nombor giliran anak. Maka sis ketuk pintu bilik doktor cuba bertanya kalau-kalau nombor giliran anak dah terlepas dipanggil. Rupanya memang belum, doktor pun terlepas pandang nak cek balik keputusan darah anak…bila di cek dalam sistem rupanya memang dah keluar pun keputusan darah anak. Alhamdulillah, keputusan darah anak OK dan tiada jangkitan. Barulah lega hati sis.

Doktor ada bagi ubat paracetamol dan air garam. Selesai semua urusan dan kami bergerak keluar dari Jabatan Kecemasan & Trauma Hospital Shah Alam lebih kurang jam 4.30 pagi.

Jika nak dibandingkan waktu menunggu hospital swasta dengan hospital kerajaan lebih kurang je lamanya. Orang yang ramai pun lebih kurang sama. Cuma bezanya layanan staf pada kita, keselesaan & suasana tempat menunggu dan jika taknak menunggu kat dalam hospital boleh minta staf hospital swasta telefon kita bila giliran dah sampai. Di hospital swasta sepanjang tempoh menunggu selepas jumpa doktor tu kita boleh lepak kat kafe dulu jadi tidaklah stress sebab lama sangat menunggu. 

Scroll To Top